Baju Melayu: Panduan Busana Melayu Lengkap

baju melayu

Mungkin ramai yang perasan lambakan rekaan pakaian di pasaran sedikit sebanyak telah menelan adat dan tradisi asal Baju Melayu.

Sememangnya, Baju Melayu tradisional telah berubah mengikut evolusi dan peredaran zaman.

Namun bagi penggemar busana tradisional ini, anda masih boleh cuba tampil mengenakan pakaian klasik ini pada masa sekarang.

Artikel ini menyorot serba sedikit pemakaian, jenis-jenis serta konsep baju Melayu yang disesuaikan mengikut perubahan zaman.

Jenis-Jenis Baju Melayu

Seperti mana kita tahu terdapat beberapa jenis baju Melayu yang boleh didapati pada zaman ini. 

Tapi bagaimana pula baju Melayu tradisional seperti baju Melayu teluk belanga, baju Melayu cekak musang dan baju layang.

1) Baju Melayu Teluk Belanga

Baju tradisional ini diperkenalkan pada waktu pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. 

Pada waktu pemerintahan tersebut, baju Melayu teluk belanga agak labuh sehingga ke bawah punggung. Leher baju pula berlapik lebar dan juga disertai dengan baju berkocek dua.

Walaubagaimanapun, baju ini diubahsuai atas cadangan Menteri Besar Johor yang pertama. 

Kocek baju kini berkocek tiga. Manakala alas leher bajunya menjadi halus seperti baju perempuan.

Seluar baju Melayu tradisional ini pula seakan seperti seluar Cina kerana kakinya lebih luas dan bertongkah.

Antara jenis seluar yang dipakai oleh para lelaki iaitu:

  • Seluar sampak – paras peha
  • Seluar katok – paras lutut
  • Seluar acheh – paras betis

2) Baju Melayu Cekak Musang

Ia dinamakan baju Melayu cekak musang kerana bentuk lingkaran leher baju. Ada juga yang mengaitkannya dengan  ‘cekak’ tinggi atau leher tegak. Saiz cekak baju adalah sehingga 2.5cm melingkari leher. 

Rekaan butang baju pula terdapat 3 iaitu  butang tiga, butang empat dan butang lima. 

3) Baju Layang 

Baju Layang atau baju sikap ini biasanya dipakai hanya oleh golongan bangsawan yang berketurunan Raja. 

Tetapi boleh sahaja pada orang-orang yang berpangkat tinggi seperti Datuk, Tun dan lain-lain.

Hiasan Baju Melayu

Tidak lengkaplah jika lelaki segak berbaju Melayu tapi tidak mengenakan dengan perhiasan yang boleh menaikkan seri baju.

Hiasan seperti capal dan tanjak masih mendapat sambutan hangat oleh golongan muda pada zaman ini, dek ingin memelihara warisan busana tradisional orang terdahulu.

1) Capal

kredit imej: amaramran.my

Capal ialah sejenis alas kaki tradisional yang dijadikan selipar bagi bangsa Melayu. 

Capal ini dipakai oleh pedagang India pada suatu ketika dahulu ketika mereka datang ke Tanah Melayu dan Nusantara, beratus tahun lamanya.

Selipar ini cukup digemari dan dikenali dalam kalangan golongan bangsawan Melayu, malah dipakai sebagai selipar harian mereka.

Pemakaian capal pada zaman moden ini memberikan nilai sentimental dan keunikan sendiri pada si pemakai. 

Hal ini demikian kerana capal mempamerkan lambang asal Melayu, Jadi, kita patut bangga untuk menggayakan capal ini bersama baju Melayu klasik kita.

2) Tengkolok

Tengkolok atau dikenali sebagai tanjak merupakan hiasan yang selalu dipakai oleh rakyat terdahulu dan juga orang-orang dari golongan istana.

Pemakaian tengkolok di kepala semasa berpakaian baju Melayu boleh membantu dalam mengangkat kembali busana orang terdahulu. 

Tambahan, tengkolok ini mempunyai keunikan coraknya yang tersendiri.

Kancing Baju Melayu

Pemakaian butang atau kancing melengkapkan pemakaian baju Melayu. Terdapat rekaan butir kancing baju yang berbeza di antara Baju Melayu Cekak Musang dan Baju Melayu Teluk Belanga. 

Baju Melayu Cekak Musang mempunyai 5 butir kancing, iaitu 2 butir bertindih di cekak leher dan 3 butir di belahan bawah leher.

Manakala Baju Melayu teluk belanga mempunyai satu kancing sahaja.  

Tapi, apakah makna di sebalik jumlah butir rekaan kancing pada kedua-dua baju tersebut? 

Maksud Kancing 

Terdapat maksud dan falsafah yang dikeluarkan mengenai maksud di sebalik kancing atau butang baju Melayu.

Bagi baju yang berkolarkan cekak musang, 5 butir kancing merujuk kepada 5 rukun islam. 

Bagi baju yang berkolarkan teluk belanga, satu butir kancing memberi maksud Tauhid, iaitu hanya satu Tuhan Maha Esa yang patut disembah.

Tetapi, terdapat juga baju Melayu yang direka khas dengan mempunyai 7 jumlah butir kancing di leher. Baju ini kebiasaannya dipakai oleh golongan bangsawan terdahulu.

7 butir kancing ini pula membawa maksud kepada 7 lapisan langit dan bumi dan boleh juga membawa erti 7 tingkat syurga dan neraka.

Untuk bacaan lanjut berkaitan maksud jumlah butang baju, anda boleh teruskan dapat info dari artikel blog ini.

Sampin Baju Melayu atau Samping Baju Melayu?

Mana satukah ejaan perkataan yang betul, sampin atau samping?

Kedua-dua ejaan perkataan tersebut adalah betul. Perkataan sampin ini berasal daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Tetapi, sejurus selepas baju Melayu ini disebarkan ke Kepulauan Riau, mereka menggelarkannnya sebagai samping.

Walaubagaimanapun, penggayaan dalam mengenakan cara pemakaian samping bersama baju Melayu pada zaman tersebut bantu membezakan pedangang dalam dan luar.

Penduduk asal di kawasan tersebut mengenakan samping dengan cara kain sampin dipakai di bawah baju Melayu, baju di luar. Cara ini dipanggil ‘Berdagang Dalam’.

Bagi golongan pendatang pedagang pula mengenakan samping dengan cara kain sampin dipakai di atas baju dan baju diselit ke dalam kain. Cara ini dipanggil ‘Berdagang Luar’.

Terdapat juga cara mengikat samping mengikut pangkat dan darjat seseorang pada waktu itu. Antaranya ialah ikatan pancung, ikatan kembung dan ikatan lingkup.

  • Ikatan pancung – Golongan Raja, Sultan dan kerabat sahaja.
  • Ikatan Kembung – Golongan Pembesar dan orang-orang yang mempunyai gelaran.
  • Ikatan Lingkup – Golongan rakyat biasa, tanpa pangkat dan gelaran

Maksud Di Sebalik Sampin

Cara pemakaian sampin yang dipakai oleh para jejaka di luar sana membawa maksud yang tersirat, termasuk menunjukkan status si pemakai tersebut.

Sampin yang dipakai sehingga ke bawah paras lutut menunjukkan si pemakai itu sudah berstatus berkahwin dan mempunyai isteri.

Bagi sampin yang dipakai atas paras lutut pula menandakan si pemakai itu masih berstatus bujang dan belum berkahwin lagi.

Cara Memakai Sampin Yang Betul

Terdapat 3 cara mudah untuk memakai sampin yang betul buat para jejaka diluar sana. Jom ikuti salah satu langkah ikatan sampin baju Melayu mudah ini.

1) Ikatan Sampin Pertama

Sarungkan kain sampin pada badan anda. Buka lembaran sampin, pastikan tulang kain berada ditengah badan anda.

Pastikan panjang sampin anda diatas perut dan labuhnya diatas lutut. Tarik sampin anda sehabisnya kearah kanan anda.

Pegang dan tahan pada lipatan tersebut di kanan badan anda. Lipat sampin terus ke kiri badan, pastikan terletak disisi kiri badan.

Kepala kain haruslah terletak tengah badan anda. Mulakan lipatan kecil dahulu. Pastikan lipatan tersebut sekata dengan lipatan hadapan dan dari belakang juga.

Lipatan besar digalakkan, selagi kemas dan selesa buat anda.

Pastikan lipatan menampakkan tenunan kain di bahagian dalam.

Pastikan labuh sampin selepas lipatan tersebut berada sedikit atas perut dan atas dari paras lutut anda.

2) Ikatan Sampin Kedua

Cara kedua ialah anda perlu memegang bahagian tengah dan bahagian kanan. 

Bahagian kiri dan kanan pula dilipatkan ke bahagian tengah. Kemudian gulung lipatan tersebut sehingga ianya berada di atas perut dan atas paras lutut. Kemaskan.

3) Ikatan Sampin Ketiga

Kain sampin dilembarkan pada badan anda. Tarik sehabisnya kain ke bahagian kanan. Selepas itu mula bentukkan ikatan corak bunga di bahagian tersebut. 

Saiz bunga tidak besar sehingga menutupi pinggang dan tidak kecil seperti punjut.

Pastikan anda kemaskan pembentukkan bunga di tepi bahagian kanan pinggang anda. 

Untuk tambahkan kefahaman cara ikatan ini, anda boleh tonton video ini yang menggunakan teknik ikatan sampin baju Melayu seperti diterangkan di atas.

Baju Melayu Sejarah Masih Menjadi Pilihan 

Konsep baju Melayu yang tulen inilah pemakaian yang mencerminkan moral kesantunan bagi para lelaki di luar sana, selagi ianya menutup aurat, kemas dan selesa di badan.

Banyak baju Melayu moden menjadi inovasi yang sudah lari dari konsep baju Melayu tradisional yang mengekalkan elemen tradisi yang dimiliki ratusan tahunnya.

Baju Melayu terdahulu yang sendat dan singkat, dibesarkan pesak pakaian yang kekal reka bentuknya sehingga ke hari ini. 

Baju Melayu seolah seperti kemeja yang longgar dan dipakai dengan seluar panjang. Kain sampin pula diikat kemas pada bahagian pinggang serta ditambah dengan perhiasan diri.

Hiasan diri tersebut ialah tanjak, songkok dan selipar capal. Sebelum muncul hiasan kepala songkok, tanjak merupakan pilihan para jejaka untuk kekal bergaya dengan pakaiannya.

Pakaian baju Melayu ini sesuai dipakai semasa pergi ke majlis keagamaan, kelas ceramah, perayaan mahupun untuk perkahwinan juga.

Baju Melayu berwarna hitam ini kebiasaannya disarungkan bagi majlis keistanaan serta dipakai bersama kain songket bersulamkan dengan benang emas.  

Manakala, baju Melayu berwarna putih lebih sesuai disarungkan pada hari berkabung lulus dari ahli keluarga diraja. 

Pengawai kerajaan juga boleh pakai warna putih ini ketika menghadiri majlis rasmi ataupun majlis kebangsaan.

Bukan itu sahaja, baju Melayu diketengahkan sebagai pakaian seragam seni mempertahankan diri Melayu. Contoh, seni silat.

Bagi baju Melayu layang dan teluk belanga, potongan lehernya dijahit sulaman dan dipakai dengan cara baju berada di luar sampin.

Dari segi corak sampin, pelbagai songket ditenun tangan dengan benang emas dan perak. Tapi ianya masih mengikut motifnya iaitu corak lebih komplikasi atau lebih rumit.

Terdapat juga corak baju Melayu seperti corak berpetak dan untuk yang lebih moden, corak berlian.

Perlu ditekankan disini bahawa pereka fesyen memegang tanggungjawab besar dalam memastikan ciri-ciri tradisional baju Melayu sentiasa dipelihara sebagai aset berharga.

Omar Ali, jenama fesyen yang tidak lekang dibibir apabila disebut mengenai pembuatan dan penjualan pakaian tradisional terutamanya baju melayu di Malaysia.

Omar Ali juga menerima tempahan pakaian dan boleh pre-order baju yang dikehendaki dari laman webnya sahaja.

Antara baju Melayu yang dihasilkan ialah Baju Melayu Sejarah dan Baju Melayu Warna Warni. 

Baju Melayu Sejarah ini dihasilkan mengikut potongan lengan baju tiga suku, dan berkain satin cotton untuk keselesaan si pemakai. 

Baju Melayu ini berkolarkan teluk belanga yang disertai sekali dengan baju bercorak garis tegak dan corak baju berpetak. Inilah kelainan corak klasik yang dibawa oleh Omar Ali sendiri.

Jika anda berminat ingin tahu lebih lanjut mengenai busana Melayu dari Omar Ali, boleh hubungi mereka di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *